Apabila Sultan Mansur Shah mangkat 1526M (928H), maka putera baginda, Raja Gombak ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran "Sultan Gombak". Setelah baginda Raja Gombak mangkat, maka cucunda baginda yang telah dijadikan putera angkat, iaitu Raja Ahmad, ditabal menjadi Sultan Kelantan pada 1584M (992H). Dengan gelaran Sultan Ahmad, Baginda telah berkahwin dengan Cik Banun puteri Seri Nara D'Raja, iaitu sepupu kepada Raja Hussein di sebelah isteri Lela Wangsa Pahang. Baginda berdua telah dikurniakan seorang puteri dinamakan Cik Siti Wan Kembang.
Baginda Sultan Ahmad mangkat pada 1589M, sewaktu puteri baginda Cik Siti Wan Kembang berusia 4 tahun, dan oleh sebab itu Raja Hussein dari Johor telah dilantik menjadi Pemangku Raja Pemerintah Kelantan. Bila Raja Hussein mangkat pada 1610M (1018H), maka Cik Wan Kembang ditabal menjadi Raja Kelantan. Baginda bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan, kira-kira 40 kilometer ke arah Tenggara Kuala Krai.
Pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa menjadi terkenal menyebabkan banyak dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari dalam dan luar negeri termasuk juga orang-orang Arab yang mengelarkan Cik Wan kembang dengan panggilan "Paduka Cik Siti". Baginda mempunyai seekor kijang yang amat disukai Baginda, iaitu persembahan daripada rakyat Baginda yang tinggal di Gunung Ayam.
Gambar kijang ini telah diterap di atas wang emas dengan perbelanjaan negeri, dan kemudiannya diabadikan pula sebagai sebahagian daripada daripada lambang kebesaran negeri Kelantan yang berkekalan hingga ke hari ini.
Dalam masa pemerintahan Cik Siti Wan Kembang yang memerintah di Gunung Chinta Wangsa itu, maka disebelah timur laut negeri Kelantan telah timbul sebuah lagi kerajaan berpusat di Jembal, dibawah pemerintahan Raja Sakti 1638M (1046H). Setelah Baginda mangkat, maka putera Baginda, Raja Loyor telah ditabal menjadi Raja pada 1649M (1059H). Baginda dianugerahkan dengan dua orang cahayamata iaitu seorang putera, Raja Sakti yang mangkat sejak kecil lagi dan seorang puteri bernama Puteri Saadong.
Hubungan baik telah terjalin di antara Kerajaan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa, dengan Kerajaan Loyor di Jembal. Baginda Cik Siti Wan Kembang telah mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat yang akan mewarisi takhta kerajaan sepeninggalannya nanti, kerana Baginda tidak mempunyai puteri ataupun putera sebab baginda tidak pernah berkahwin.
Puteri Saadong seorang gadis ayu yang cantik dan jelita, digelar oleh penduduk Gunung Chinta Wangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Perihal kecantikan Puteri Saadong itu telah sampai kepada Maharaja Siam yang menghantar utusan untuk meminang Puteri Saadong, tetapi ditolak. Puteri Saadong telah dikahwinkan dengan Raja Abdullah iaitu sepupunya, dan telah dimahkotakan di Kota Tegayong (Tanah Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong) dan kemudiannya dipindahkan ke Kota Jelasin di Kota Mahligai.
Search This Blog
Saturday, 25 December 2010
BUDAYA: TARIAN ASYIK
Tarian Asyik adalah sejenis tarian klasik (daerah) Kelantan yang pada asalnya dipersembahkan di istana (Raja-Raja Kelantan). Barisan penarinya ialah kalangan dayang istana. Tarian Asyik selalunya dipersembahkan pada hari perkahwinan, iaitu malam berinai dan malam berinai besar di istana.
Kini, Tarian Asyik dipersembahkan juga pada hari temasya negeri dan negara. Dari segi sejarah (Hikayat Pattani), Raja Kuning iaitu Raja Perempuan, yang memerintah Pattani pada 1644, ada menyimpan 12 penari istana yang menyanyi dan menari dipanggil Asyik.
Menurut maklumat daripada Wikipedia Bahasa Melayu, Asyik bererti kekasih, oleh itu tarian ini bersesuaian dengan gerak-geri bersifat lemah lembut dan penuh dengan ketertiban. Tarian ini dimulai dengan 10 penari masuk ke dewan tarian terlebih dulu, lalu duduk bersimpuh dengan tertibnya. Kemudian tampillah Puteri Asyik dan mereka pun mula menari. Tiga alat muzik penting yang digunakan ialah rebab, gambang dan gedombak.
Pakaian Tarian Asyik |
Asal usul tarian ini dihikayatkan daripada seorang raja yang memelihara seekor burung kesayangannya di istana. Suatu hari beliau mendapati burungnya terlepas dari sangkar, lalu diikut burung itu ke hutan belantara dengan harapan untuk mendapatkannya semula. Selepas bertahun-tahun burung kesayangannya masih tidak dapat diambil kembali, lalu raja berkenaan kembali ke istana dengan penuh kekecewaan.
Bagi menghilangkan rindunya terhadap burung itu, raja terbabit memerintahkan supaya mencipta satu tarian yang meniru gerak-geri burung kesayangannya. Untuk tujuan berkenaan, maka kumpulan dayang istana terpaksa menari di depan baginda dan ternyata baginda begitu asyik dengan persembahan berkenaan meskipun ketika itu raja masih terkenangkan burungnya.
Alat muzik yang mengiringi Tarian Asyik ialah gedombak asyik sebanyak 11 jenis, selain gambang dan rebab. Tiga alat muzik utama ini mesti ada untuk mengiringi tarian berkenaan. Di samping gerak-geri dan pakaian berseri, Tarian Asyik menarik minat masyarakat seluruhnya. Pakaiannya adalah serupa dengan Mak Yong iaitu berbaju pendek (warna merah), kain sarong dan satu kain panjang digantung pada bahu dan dilepaskan hingga ke pinggang. Pada bahagian pinggang penari memakai pending (sejenis tali pinggang) dan Puteri Asyik pula dimestikan memakai canggar di sanggulnya.
Setelah peralihan kuasa kepada kerajaan Kota Kubas Labu, tarian Asyik tetap berkembang semasa pemerintahan Long Yunus pada tahun 1784. Apabila putera baginda iaitu Sultan Muhammad I menaiki takhta, baginda telah membawa seorang guru tari iaitu Siti Mas dan suaminya dari Kota Kemal, Pattani bagi mengajar tarian ini di istana. Ketika itu, tarian Asyik ditarikan oleh seorang penari dengan iringan muzik asli iaitu rebab.
Berdasarkan sejarah kemunculannya, tarian Asyik membuktikan bahawa tarian istana ini benar-benar menjadi milik mutlak institusi beraja satu ketika dahulu. Hal ini kerana fungsi dan peranannya sebagai satu bentuk hiburan istimewa buat golongan tersebut. Tambahan pula, tarian Asyik ini terbentuk atas kehendak raja yang menginginkan bentuk tarian itu menyamai gerak-geri burung kesayangan yang telah hilang. Selain itu, keunggulan kedaulatan raja melalui tarian klasik ini juga terbukti apabila hanya golongan raja dan kerabatnya sahaja yang boleh menonton persembahan ini. Jelaslah, hal ini sekali gus mengukuhkan kekuasaan, keagungan dan kebesaran golongan diraja.
Labels:
Budaya
MAKANAN: JALA MAS
Kuih jala mas merupakan sejenis hidangan kuih tradisional Melayu yang lemak manis, dihasilkan dengan menggunakan kuning telur yang dimasak dalam air gula, sama seperti kuih mas sejemput, tetapi mempunyai cara penyediaan dan rupa yang berbeza.
Kuih jala mas disediakan dengan kuning telur yang diurai ke dalam air gula yang menggelegak. Selepas beberapa lama apabila masak, adunan itu diangkat dan kemudiannya ditompokkan pada bahagian kecil atau juga boleh diletak begitu sahaja dalam bekas.
Kuih jala mas mempunyai bentuk yang berjurai seperti mi halus. Ia biasanya hanya disediakan untuk majlis istimewa seperti peminangan, perkahwinan dan sebagainya. Ini disebabkan cara membuatnya yang rumit dan kos penghasilan yang tinggi. Pada kebiasaannya telur itik digunakan kerana ia mempunyai saiz kuning telur yang lebih besar.
Kuih jala mas ini lebih popular di sebelah pantai timur, terutama di Kelantan dan Terengganu. Pada masa dahulu, ia biasanya dikhaskan bagi hidangan di-raja dan golongan bangsawan. Ini disebabkan kos penghasilan yang tinggi dan cara menghasilkannya yang rumit. Sehingga kini pun, dikalangan orang kebanyakkan ia terhad pada peristiwa istimewa, terutama sebagai hantaran pada majlis perkahwinan atau pertunangan.
Nama jala mas mungkin diambil dari warnanya yang kuning keemasan dan bentuknya seperti jala. Secara tradisi, dalam kebudayaan Melayu tradisi, warna kuning keemasan dikhaskan bagi golongan raja-raja sahaja.
Kuih jala mas ini lebih popular di sebelah pantai timur, terutama di Kelantan dan Terengganu yang sudah biasa dan mempunyai banyak hidangan kuih yang manis-manis belaka. Oleh kerana kos pembuatan yang tinggi, ia tidak banyak dijual begitu sahaja, dan biasanya jala mas yang bermutu perlu ditempah lebih awal, dan biasanya hanya ditempah bagi acara istimewa. Ia lebih popular sebagai hidangan pengantin kerana kandungan kuning telur dan gula yang tinggi dikatakan sebagai pemberi tenaga yang baik.
Kuih jala mas kurang popular di negeri lain di Malaysia, disebabkan rasanya yang amat manis. Ia mempunyai rasa bertali dari juraian kuning telur yang disira dalam air gula. Sebagaimana mas sejemput, ia dihidangkan secara atas darat (tidak berkuah) dan dihias.
Kuih jala mas kurang dikenali dikalangan golongan muda kerana ia tidak dijual secara meluas. Kebanyakan orang hanya dapat melihatnya semasa majlis perkahwinan. Ia juga tidak sesuai untuk dijadikan sebagi makanan petang atau ringan kerana rasanya yang amat manis. Oleh itu cita rasanya terhad pada golongan tertentu sahaja.
Labels:
Makanan
Subscribe to:
Posts (Atom)