SELAMAT DATANG KE BLOG KELATE ORI ... BEREH BLAKO SOKMO!

Search This Blog

Friday 24 December 2010

SEJARAH: LOMBONG BIJIH BESI, BUKIT BESI, TEMANGAN

Lombong bijih besi ini diusahakan oleh sebuah syarikat Jepun iaitu "Oriental Mining Co.", di kawasan Bukit Besi, Temangan, Kelantan. Di sini bijih besi diangkut dengan menggunakan keretapi ke Pelabuhan Tumpat. Bijih besi tersebut akan dimasukkan ke dalam satu bekas khas di mana ianya akan diangkut pula ke kapal melalui jeti yang dibina . Dari kapal kecil ini, bijih besi tersebut akan dibawa ke kapal induk untuk dieksport ke negara Jepun.

Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1941-1945) pengeluaran bijih besi terus dilakukan oleh pemerintah tentera Jepun.
Selepas Peperangan Dunia Kedua, pengeluaran bijih besi masih diteruskan dilakukan oleh syarikat yang sama tetapi kini ianya di bawah pengawasan pemerintah British. Pengeluarannya berterusan sehingga tahun 1965 dimana operasinya dihentikan kerana bekalan bijih yang ada semakin berkurangan.


Sejak itu, Jambatan Bijih ini telah tidak berfungsi lagi dan dibiarkan tidak terurus. Kini yang tinggal hanyalah kesan runtuhan yang menjadi bukti sejarah.
Saya sendiri pernah beberapa kali mendaki bukit ini sekitar tahun 1993-1995 dan berada di puncak bukit ini serta melihat sendiri panorama persekitaran yang mewah dengan flora dan fauna yang ada.Antara spesies fauna yang terdapat di sini ialah beberapa jenis pokok bongsai dan juga aneka orkid-orkid liar yang tumbuh segar dan berpotensi untuk dikomersialkan.


Kini,setelah sekian lama ia dibiarkan tanpa terurus,ia telah kembali diselengarakan untuk tujuan pengeluaran semula bijih besi yang terdapat di sini oleh syarikat Pakar Ganda Sdn Bhd dengan usahasama Komeichi Maruten (M) Sdn Bhd sejak dari tahun 2006. Secara tidak langsung ini telah dan akan terus memberikan peluang pekerjaan dan daya peningkatan hidup buat anak tempatan di sekitar Machang, Temangan Khususnya.

INFO: JERAM PASU, PASIR PUTEH

Pintu masuk ke kawasan rekreasi air terjun Jeram Pasu

Jeram Pasu adalah merupakah salah satu kawasan rekreasi hutan lipur dan air terjun yang terkenal terletak di Kampung Padang Pak AMat, Pasir Puteh, kira-kira 35 km di selatan Kota Bharu, Kelantan. Jeram Pasu dihubungi dengan jalan raya bertar dan pengunjung boleh ke sana dengan menaiki perkhidmatan bas awam, kereta persendirian dan teksi. Jeram Pasu terletak kira-kira 8 kilometer ke dalam dari simpang Kampung Padang Pak Amat, Jalan Pasir Puteh - Kota Bharu.


Mengikut sejarah dan cerita masyarakat setempat, Jeram Pasu merupakan air terjun yang terawal dibangunkan sebagai kawasan rekreasi orang ramai di Kelantan.
Airnya yang jernih, sejuk serta nyaman sememangnya menjadikan ia tempat rekreasi dan riadah yang popular di kalangan pengunjung. Jeram Pasu merupakan kawasan air terjun pertama di Kelantan yang menyediakan tempat berteduh serta kemudahan lain. Beberapa kolam serta gelongsor telah dibina berhampiran air terjun. Pihak berkuasa juga telah menyediakan tapak khemah untuk pengunjung yang ingin bermalam. Segala kemudahan telah diadakan bagi keselesaan pengunjung berkelah. Destinasi ini sentiasa dipenuhi orang ramai terutamanya sewaktu musim cuti sekolah serta hujung minggu.




Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Daerah Pasir Puteh telah membina banyak kemudahan seperti tempat letak kereta, surau, wakaf rehat, tandas awam, restoran dan gerai serta kolam mandi buatan. Pengunjung juga boleh beriadah dengan menggunakan trek denai hutan yang dibina oleh pihak PBT.