SELAMAT DATANG KE BLOG KELATE ORI ... BEREH BLAKO SOKMO!

Search This Blog

Thursday 16 December 2010

SEJARAH: Lokasi dan Sejarah Ringkas Memorial Peperangan Dunia Ke II

Bank Kerapu (War Museum)
Lokasi
Memorial Peperangan Dunia Ke-11 (Bangunan Bank Kerapu) terletak di atas sebidang tanah Lot No. 31 dalam Zon Budaya Kota Bharu. Luas tapak bangunan itu ialah 1,986.36 meter persegi. Kedudukannya ialah di sebelah hilir Padang Merdeka (dahulunya dikenali dengan nama Padang Bank) bersempadankan kawasan Muzium Islam di Timur dan di baratnya pula bersempadankan kompleks Pejabat Kastam, di tebing Sungai Kelantan.
Jaraknya dari pusat bandar adalah lebih kurang 0.5 kilometer. Terdapat perkhidmatan bas bandar yang melalui kawasan tersebut. Kawasan ini termasuk dalam 'Zon Budaya' yang mengandungi bangunan-bangunan bersejarah dan terkenal. Termasuk bangunan Majlis Agama Islam (Muzium Islam), Masjid Muhammadi, Istana Jahar (Muzium Adat Istiadat Raja Diraja). Istana Balai Besar dan Istana Batu (Muzium Diraja).

Kawasan bandar Kota Bharu, terutama pusat membeli belah, Pasar Besar, Pejabat Setiausaha Kerajaan iaitu Kota Darulnaim, Balai Polis dan lain-lain tidak jauh dan dapat dihubungi dengan berjalan kaki, menaiki bas mini perkhidmatan dalam bandar atau teksi roda tiga (beca).

Pintu Masuk Bank Kerapu
Latarbelakang
Tapak asal bangunan ini dimiliki oleh Nik Yusoff bin Nik Abd. Majid yang bergelar Dato' Sri Paduka Raja. Beliau lebih dikenali dengan Pak Nik Soh Pak Nik Ad atau disebut juga Sri Paduka Nik Yusoff atau Nik Sri Paduka. Beliau adalah seorang Pembesar Kelantan yang terkenal sejak zaman pernerintahan Sultan Ahmad (1886-1889) dan zaman Sultan Muhammad 111 (1889-1890). Beliau telah dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan dari tahun 1894 hingga 1900.

Bank Kerapu, Kota Bharu, Kelantan DN
Tanah tapak bangunan itu telah dibeli oleh syarikat bank "The Mercantile Bank of India Limited yang membina sebuah bangunan bank cawangannya di Kelantan. Bangunan bank itu dibina dan siap serta digunakan pada tahun 1912. Pengurus yang pertama ialah Encik Muir iaitu seorang Inggeris.
Dinding bangunan tersebut ditampalkan dengan simen yang berkerutu. Dalam bahasa daerah Kelantan keadaan tidak licin itu disebut 'kerapu'. Daripada itu bank tersebut telah dikenali sebagai Bank Kerapu hinggalah sekarang ini

No comments: