SELAMAT DATANG KE BLOG KELATE ORI ... BEREH BLAKO SOKMO!

Search This Blog

Thursday, 9 December 2010

SERBA SEDIKIT TENTANG DAERAH-DAERAH DI NEGERI KELANTAN DN

KOTA BHARU
Pintu masuk ke Bandar Kota Bharu

Kota Bharu merupakan sebuah pusat bandar utama bagi Negeri Kelantan. Perkembangan bandar Kota Bharu bermula pada tahun 1844 iaitu sebagai sebuah penempatan DiRaja kini berfungsi sebagai pusat utama bagi pentadbiran, perdagangan, kewangan, kebudayaan dan pendidikan. Sehubungan dengan itu, Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) merupakan sebuah organisasi yang diwujudkan bagi mengendalikan pentadbiran bandar Kota Bharu. Keluasan Bandar Kota Bharu adalah seluas 115.64 km persegi dengan jumlah penduduk melebihi 300 ribu orang.

Pantai Cahaya Bulan

Bandar Kota Bharu telah ditubuhkan pada tahun 1844 dan diisytiharkan sebagai pusat pemerintahan Negeri Kelantan oleh Kebawah Duli Yang Mulia Al-Marhum Sultan Muhammad Ke-II. Pada tahun 1936, bandar Kota Bharu dinaik tarafkan sebagai Majlis Bandaran Kota Bharu (MBKB). MBKB telah dimansuhkan dan ditukarkan kepada Lembaga Bandaran pada tahun 1971. Pada tahun 1978 Lembaga Bandaran Kota Bharu disusun semula dan dinaik tarafkan kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu pada tahun 1978.


PASIR PUTEH
Pasir Puteh

Jajahan Pasir Puteh wujud sejak tahun 1905 dan mempunyai keluasan 433.8 kilometer persegi (167.2 batu persegi). Jajahan ini merupakan jajahan yang kelima luasnya berbanding dengan jajahan-jajahan lain di dalam negeri Kelantan. Jajahan ini bersempadan dengan jajahan Kota Bharu di sebelah Utara, jajahan Machang di sebelah Barat, jajahan Bachok di sebelah Timur Laut dan di sebelah Selatan bersempadan dengan Daerah Besut, negeri Terengganu.
Bentuk muka bumi jajahan Pasir Puteh boleh dibahagikan kepada dua keadaan yang besar iaitu keadaan tanah yang berbukit-bukit dan tanah rendah. Terdapat beberapa buah bukit dijajahan ini iaitu Bukit Mak Lipah, Bukit Jerus, Bukit Bayoh, Bukit Belakang Parang, Bukit Batu Kawi, dan Bukit Peraksi. Di antara bukit-bukit ini Bukit Mak Lipah adalah merupakan bukit yang paling tinggi iaitu 868 kaki yang terletak berhampiran dengan sempadan Daerah Bachok di sebelah Utara.
Pasir Puteh terkenal dengan sejarah perjuangan Tok Janggut menentang pihak Inggeris yang cuba mengembangkan pengaruhnya di daerah Jeram. Bagi memperingati perjuangan beliau, pihak MDPP telah membina satu tugu peringatan yang dinamakan ‘Tugu Tok Janggut’ yang terletak di tepi sungai Semerak, Bandar Pasir Puteh.

Permandangan di sekitar Tok Bali.

Pasir Puteh merupakan sebuah bandar yang wujud di antara dua buah sungai iaitu Sungai Rasau dan Sungai Semerak, yang mana pada masa dahulu sumber pengangkutan utama bagi penduduk ialah sungai dan kawasan lembah sungai akan muncul sebagai lokasi tumpuan penduduk  bagi memudahkan perhubungan.
Pasir Puteh juga sinonim dengan pantai yang bersih yang terletak bertentangan dengan Laut China Selatan, iaitu Pantai Bisikan Bayu, Semerak dan Pantai Tok Bali, Tok Bali. Kini Tok Bali di ambang pembangunan dengan keterlibatannya secara langsung dengan perancangan Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECER), di mana Tok Bali bakal dibangunkan sebagai sebuah bandar baru yang berteraskan kepada ekonomi perikanan dan pelancongan serta penempatan pusat pentadbiran jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan dengan industri marin, keselamatan, kesihatan dan juga institusi pendidikan.


TUMPAT
Masjid Kampung Laut

Jajahan Tumpat telah dibina pada 1 Januari, 1949 di Kawasan Padang Mahkota iaitu di hadapan kediaman rasmi Ketua Jajahan dan apabila beroperasi telah diterajui oleh Allahyarham Dato' Nik Hussein bin Nik Zainal (Dato' Kaya Setia) selaku Ketua Jajahan yang pertama. Kepesatan pembangunan yang dialami di Jajahan Tumpat pada waktu itu serentak dengan perkembangan Pelabuhan dan Stesen Keretapi yang merupakan nadi perhubungan dan pengangkutan di Pantai Timur. Jajahan Tumpat adalah satu-satunya Jajahan yang paling kecil antara Jajahan di Negeri Kelantan dengan keluasannya hanya 169.5 km2.

Pantai Sri Tujuh

Bagaimana pun Tumpat merupakan Jajahan yang paling unik sekali kerana mempunyai dataran dan beratus-ratus buah pulau Sungai (River Island) yang tidak berbukit yang amat sesuai serta berpotensi untuk dijadikan kawasan Pelancongan Antarabangsa. Jajahan Tumpat ditadbirkan melalui Tujuh Daerah Penggawa dan dibahagikan kepada 30 Mukim. Di setiap Mukim ini pula terdapat beberapa buah kampung yang kesemuanya berjumlah 57 buah dan setiap kampung diketuai oleh seorang penghulu (Ketua Kampung) yang bertindak sebagai penghubung antara rakyat dan Pentadbiran Jajahan.


BACHOK

Simbol Pantai Irama,Bachok.

Mungkin tidak ramai yang mengetahui tentang pelbagai lagenda dan cerita rakyat yang diperturunkan secara lisan sejak zaman berzaman mengenai Pantai Irama, sebuah pantai peranginan yang terletak di Jajahan Bachok iaitu kira-kira 35 kilometer dari bandar Kota Bharu, ibu Negeri Kelantan.
Kononnya pada zaman dahulu kala terdapat sebuah batu menyerupai seekor burung yang seakan-akan sedang terbang dari laut di tepi pantai sepanjang kira-kira 2 kilometer itu. Tempat di mana batu yang dikatakan wujud kini dikenali sebagai Kampung Tok Burong.Masyarakat dahulu kala di sini juga percaya mengenai cerita kononnya wujud sebuah kemudi emas yang timbul dipermukaan air di pantai itu bersama-sama seekor buaya putih.

Permandangan di Pantai Irama.

Menurut cerita, buaya putih sakti itu telah mengambil seorang budak perempuan di situ untuk dijadikan anak angkatnya sehingga dewasa. Kerana sayangnya yang tidak terhingga, buaya putih itu sentiasa memberi berupa barang-barang kemas kepada budak perempuan itu.
Tempat di mana berasalnya cerita dongeng itu kini dikenali sebagai Kampung Seri Kemudi. Pantai Irama juga menyimpan sejarah pahit tanahair kerana menjadi salah satu tempat pendaratan utama tentera jepun di Tanah Melayu pada zaman Perang Dunia Kedua dahulu dan kesan yang masih boleh dilihat ialah beberapa buah kubu tentera inggeris yang masih terdapat di situ.


PASIR MAS


Dataran Air Muleh, Pasir Mas.

Pasir Mas merupakan satu daripada 10 jajahan di Negeri Kelantan terletak di bahagian utara Negeri Kelantan, bersempadan dengan jajahan Tumpat di sebelah Utara, Tanah Merah di sebelah selatan, Sungai Kelantan dan jajahan Kota Bharu di sebelah Timur dan Jajahan Sungai Golok, Thailand di sebelah Barat.
Mengikut sejarah kewujudan Pasir Mas, sebuah penempatan telah dibuka oleh Che Leh Ismail atau lebih dikenali sebagai Che Leh Tok Pendekar. Beliau telah dipaksa ke Pasir Mas setelah tanahnya di Kota Bharu diambil alih oleh Sultan bagi tujuan membina istana. Pada masa itu, terdapat seorang guru agama dari Bachok, datang untuk mengajar kelas keagamaan di Pasir Mas.

Danau Tok Uban, Pasir Mas.

Guru agama itu kemudiannya pulang semula ke Bachok setelah selesai mengajar tetapi selang beberapa hari setelah kepulangan guru itu, secara tiba-tiba muncul 3 biji mangkuk emas dari dalam semak. Mangkuk ini kemudiannya berpusing membentuk pusar di sekitar semak dan secara tidak langsung, penduduk yang melihat kejadian itu menjerit ‘Mas! Mas!’. Perkataan pasir terbit kerana berdekatan penempatan yang terletak di tebing sungai Kelantan, terdapat beberapa longgokkan pasir sehingga membentuk padang yang luas. Pasir Mas adalah cantuman dari perkataan Pasir dan Mas.

MACHANG
Pintu masuk ke Hutan Lipur Bukit Bakar, Machang.




Jajahan Machang mendapat nama daripada sebuah kampung iaitu Kampung   Machang. Ia mula dibuka pada tahun 1880 oleh sekumpulan penduduk kampung dari Pasir Tumboh di Kota Bharu yang diketuai oleh En. Senik. Pada awal pembukaan kampung ini aktiviti utama yang dijalankan oleh penduduk untuk menyara kehidupan mereka ialah pertanian dan perniagaan.
Dari segi geografinya kedudukan Jajahan Machang terletak di tengah-tengah negeri Kelantan Darul Naim. Jajahan Machang ini bersempadan dengan Kota Bharu dari sebelah utara, sebelah selatan Jajahan Kuala Krai, sebelah barat bagi Jajahan Tanah Merah manakala bagi Jajahan Pasir Puteh pula di sebelah timur.

Jambatan Gantung di Hutan Lipur Bukit Bakar.


Pada awal penubuhannya iatu sekitar tahun 1949 Jajahan Machang telah dijadikan jajahan kecil. Namun, pada 1 Januari 1952 disebabkan kepesatan dalam pembangunan dan kegiatan ekonomi di Jajahan Machang ia telah dijadikan jajahan sepenuhnya.
Jajahan Machang mempunyai keluasan 546.26 kilometer persegi. Daripada jumlah keluasan itu sebanyak 129 kilometer persegi adalah terletak di dalam Majlis Daerah Machang.


TANAH MERAH


Jambatan Guillermard @ Jambatan Kusial


Bandar Tanah Merah mula berkembang apabila perahu-perahu yang lalu di sepanjang Sungai Kelantan singgah untuk berdagang di Pekan Bukit Remah.
Pekan tersebut terletak di tebing Sungai Kelantan. Lama kelamaan tumpuan orang ramai mula beralih ke suatu kawasan yang letaknya 3 km ke utara yang sekarang ini merupakan bandar Tanah Merah.
Bandar berkenaan menjadi lebih berkembang dengan wujudnya laluan keretapi dan seterusnya stesen keretapi. Pada awalnya, bandar Tanah Merah dan jajahan Tanah Merah adalah sebahagian daripada jajahan Pasir Mas.

Lata Hujan, Tanah Merah.


Tetapi bermula pada 2 hb Februari 1955, jajahan Tanah Merah mula diwujudkan yang mana bandar Tanah Merah menjadi pusat pentadbiran sepenuhnya.
Bagi mentadbirkan bandar Tanah Merah dan pekan-pekan di jajahan Tanah Merah, beberapa Penguatkuasa Tempatan diwujudkan di bawah Undang-Undang Kerajaan Tempatan 1952.
Mengikut sejarah melayu,Tanah Merah merupakan Ibu Kota bagi Kerajaan Melayu lama iaitu Kerajaan Chi Tu. Mengikut rekod Kerajaan China Dinasti Sui.
Pada kurun ke-7, terdapat satu penempatan dan pemerintahan berpusat Kerajaan yang di kenali sebagai Chi Tu (Bumi Merah) di satu kawasan yang mana Pada hari ini dikenali sebagai Kelantan.Populasi penduduk Jajahan Tanah Merah pada 2005 adalah seramai 108,288 orang. Majoritinya adalah kaum Melayu.


KUALA KRAI


Tangga Krai @ Tangga Bradley


Jajahan Kuala Krai merupakan jajahan kedua terbesar di Negeri Kelantan selepas Jajahan Gua Musang. Jajahan ini juga adalah salah satu daripada jajahan yang tertua yang telah diwujudkan oleh pemerintah British pada tahun 1909.
Namum Jajahan Kuala Krai dikenali secara rasminya pada 01 September 1977 dimana sebelum itu dikenali Jajahan Ulu Kelantan yang merangkumi seluruh Jajahan Gua Musang dan Daerah Kuala Balah di Jajahan Jeli.

Lata Berangin, Kuala Krai.


Pusat Pentadbiran Jajahan pada mulanya terletak di Kg. Mengkebang, Jalan Batu Lada dan kemudian berpindah berhampiran Tangga Krai (Tangga Bradley) pada tahun 1927. Kini Pusat Pentadbiran Jajahan telah berpindah ke bangunan baru berpusat di kawasan Guchil pada 22 April 1985.
Jajahan Kuala Krai mempunyai keluasan 2,329 km persegi atau 910 batu persegi bersempadanan dengan Jajahan Machang di Utara dan Jajahan Gua Musang di Selatan. Manakala di sebelah Timur ia bersempadanan dengan Negeri Terengganu dan di Baratnya ialah Jajahan Jeli.


JELI


Gunung Reng, Jeli.


Daerah Jeli merupakan kawasan yang terletak pintu masuk “gateway” ke negeri Kelantan dari sebelah Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Ianya menjadi tempat persinggahan yang sesuai bagi mereka yang dalam perjalanan dari Pantai Timur ke Pantai Barat atau sebaliknya, melalui jalan raya Timur Barat. Di samping itu, Daerah Jeli juga menjadi penghubung kepada kawasan Kelantan Selatan melalui jalan raya Jeli - Dabong.
Oleh yang demikian, dari segi lokasinya Daerah Jeli bersempadan dengan Thailand di sebelah utara, Jajahan Tanah Merah di sebelah timur, Jajahan Kuala Krai dan Gua Musang di sebelah selatan dan Negeri Perak di sebelah barat, merupakan sebuah kawasan yang strategik dan mempunyai daya maju untuk pembangunan secara teratur di masa hadapan.


Lata Janggut, Jeli.

Pekan Jeli merupakan bandar atau pekan utama di jajahan ini. Ia terletak kira-kira 98 kilometer dari Bandar Kota Bharu melalui jalan raya Timur Barat.
Keadaan muka bumi 82% adalah berbukit-bukau, hutan-rimba dan banyak alur serta sungai. Jajahan ini terletak diantara 90 meter hingga 500 meter dari paras laut. Sungai-sungai utama ialah Sungai Pergau, Sungai Renyut, Sungai Suda dan Sungai Balah.


GUA MUSANG


Stesen KTM Gua Musang.


Gua Musang merupakan sebuah jajahan yang terletak di sebelah selatan Negeri Kelantan yang menjadi sempadan antara Negeri Kelantan dengan Negeri Pahang, Terengganu dan Perak. Ianya merupakan pintu masuk ke Negeri Kelantan dari arah selatan melalui jalan darat iaitu Kuala Lipis atau Kuala Lumpur.

Pintu Masuk Ke Taman Negara Kuala Koh

Kedudukan yang strategik serta bentuk muka bumi yang unik dengan dikelilingi oleh gua-gua menggalakkan industri pelancongan. Disamping itu, dengan adanya kemudahan jaringan perhubungan yang baik seperti jalan darat dan juga keretapi memudahkan para pengunjung dan pelancong datang ke Gua Musang.


LOJING (DAERAH BARU)

Lojing

Kerajaan Kelantan mempunyai satu lagi jajahan baru di kawasan Selatan negeri yang dikenali sebagai Jajahan Kecil Lojing.
Pengistiharan jajahan baru tersebut telah disempurnakan oleh Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra pada 6 Ogos 2010

Bunga Rafflesia yang terdapat di Lojing.

Dengan keluasan 181,700 hektar, Lojing dapat dijadikan satu jajahan yang berasaskan ekonomi pertanian dan dapat dimajukan sebagai kawasan pelancongan.

6 comments:

Angah@Eddie said...

bagusssssssssssss!!!!!!!!
gOOd infO pada rakyat Kelantan and alsO pada sesiapa yang nak mengenali negeri Kelantan....
sharing ilmu takkan pernah lumut walaupun ditelan zaman..........

Angah@Eddie said...

kat kelate pOm adO bungO raffelisia..adik kakOk.pahni tOk payOh g jauh2,mari kelate dOh bleh tengOk bungO rafflesia...caya la...

blade said...

rafflesia d lojing bkn spt tmpt len...anytime kita pergi n kita akn dpt lihat rafflesia yg kembang sepenuhnya...

Luqman Amri said...
This comment has been removed by the author.
Luqman Amri said...
This comment has been removed by the author.
afham awang said...

bos...nak copy boleh???