SELAMAT DATANG KE BLOG KELATE ORI ... BEREH BLAKO SOKMO!

Search This Blog

Friday, 17 December 2010

SEJARAH: PENDARATAN ASKAR JEPUN DI PANTAI KUALA PAK AMAT : 7/8 DISEMBER 1941

Bendera Jepun
Pada kira-kira jam 2345 (11.45 malam), 7 Disember 1941, askar-askar Pertahanan Pantai British yang ditempatkan di kawasan pantai Badang dan Sabak, di persimpangan Kuala Pak Amat lebih kurang satu setengah batu ke timur laut Lapangan Terbang Kota Bharu di Pangkalan Chepa (kira-kira 7 batu ke timur laut bandar Kota Bharu) telah melaporkan beberapa buah kapal perang "musuh", sedang berlabuh di tepi pantai itu. Tiada lama berselang, meriam-meriam pertahanan pantai British melepaskan tembakan ke atas kapal-kapal perang "musuh" itu sebagai membatas tembakan-tembakan atau bedilan-bedilan yang dimulakan oleh kapal-kapal perang 'musuh' tersebut yang membedil kubu-kubu pertahanan pantai pihak British di kawasan Pantai Kuala Pak Amat. Pada ketika itu tiada siapa pun menyedari atau menyangka bahawa peristiwa tembakan atau bedilan meriam di pantai Kelantan itu menandakan bermulanya peperangan diantara Jepun dan British di Kelantan dan di Malaya. Sebenarnya tembakan atau bedilan meriam di pantai Kelantan pada tengah malam 7/8 Disember 1941 itu merupakan "tembakan pertama" peperangan di Malaya dan juga permulaan Perang Dunia Kedua di Timur Jauh dan Pasifik. Patut disebut disini bahawa pendaratan atau serangan Jepun di Kelantan itu telah berlaku satu jam dua puluh minit lebih awal atau terdahulu daripada serangan udara Jepun ke atas pangkalan tentera laut Amerika Syarikat di Pearl Harbour di Pulau Hawaii.  Adapun yang dikatakan kapal-kapal perang "musuh" itu ialah satu konvoi kapal perang Jepun yang mengandungi tiga buah Kapal Pengangkut Tentera (Awagisan Maru, Ayatosan Maru dan Sakura Maru) yang diiringi oleh lima buah kapal perang di bawah perintah Rear-Admiral Shintaro Hashimoto. Kapal-kapal perang itu ialah kapal penjelajah ringan bernama Sendai dan empat kapal pembinasanya yang bernama Isonami, Uranami, Shikinami dan Ayanami.



Tiga kapal pengangkut itu membawa askar-askar Jepun yang dipanggil Takumi Detachment. Kapal-kapal perang Jepun itu berlabuh kira-kira satu setengah batu dari pantai pada kira-kira waktu tengah malam 7/8 Disember 1941. Sungguhpun pada waktu itu laut bergelombang kuat, namun angkatan perang Jepun itu telah berjaya menurunkan askar-askarnya ke dalam kapal-kapal pendarat (landing craft). Pada ketika itu juga kapal-kapal perang Jepun pun mula menembak kawasan pantai itu sebagai tanda bermulanya pendaratan.  Pada kira-kira jam 0025 pagi (12.25 pagi) 8 Disember, kumpulan hadapan askar-askar Jepun itu telah mendarat di Pantai Kuala Pak Amat yang terletak di antara Pantai Badang dengan Pantai Sabak dan pada jam 0100 (1.00 pagi), setelah berlaku pertempuran yang sengit telah berjaya menawan kubu-kubu pihak British yang dikendalikan oleh askar-askar bangsa India dari pasukan 3/17 th Dogras yang memberi tentangan yang hebat serta menimpakan kemalangan yang teruk ke atas askar-askar Jepun yang sedang mara itu sebelum mereka sendiri dibinasakan oleh askar-askar Jepun itu.

Pantai Kuala Pak Amat
Kubu-kubu pihak British yang kuat itu telah menembak dengan hebatnya sehingga askar-askar Jepun yang mara dari arah pantai itu terpaksa merangkak, sebelah kaki dalam air dan sebelah kaki lagi atas pasir dan tiada dapat mengangkat kepala mereka kerana takut terkena peluru.  Pendaratan askar-askar Jepun itu telah dilaksanakan dengan tiga kumpulan atau gelombang yang berasingan dengan jarak masa selama kira-kira satu jam tiap-tiap satu gelombang dengan menggunakan kapal-kapal pengangkut yang membolehkan askar-askar dan juga kenderaan-kenderaan tentera mendarat dari haluannya (landing craft) yang sama bagi mengangkut askar-askar ketiga gelombang itu. Gelombang pertama mengandungi dua puluh kapal pendarat atau pengangkut yang diketuai oleh Letnan-Kolonel Nakamura.
 
Tentera Jepun
Walaupun mengalami kemalangan teruk oleh kerana bedilan meriam artileri pihak British dan tentangan hebat oleh askar-askar bangsa India dari pasukan 3/17 th Dogra Regiment, mereka berjaya juga mendarat di pantai Kuala Pak Amat pada kira-kira jam 12.30 tengah malam, 7/8 Disember 1941. Gelombang kedua di bawah pimpinan Mejar Kasui dan diikuti juga oleh Mej. Jen Hiroshi Takumi dan Kol. Yoshio Nasu, terpaksa berlepas lambat sedikit iaitu pada kira-kira jam 3.30 pagi (8 Disember 1941) kerana pada masa mereka bersiap sedia hendak berlepas, dengan tiba-tiba diserang oleh pesawat-pesawat terbang British/Australia, jenis Hudson dari pasukan No 1 Squadron RAAF (Royal Australia Air Force) dari Lapangan Terbang Kota Bharu di Pangkalan Chepa dan juga jenis Vickers Vildebeeste yang berpangkalan di Lapangan Terbang Gong Kedak dan Lapangan Terbang Lalangluas dekat Machang. Pesawat-pesawat terbang pihak British/Australia itu datang menyerang kapal-kapal pengangkut tentera Jepun dan ditentang hebat oleh bedilan meriam-meriam penangkis pesawat terbang kapal-kapal perang dan pengangkut Jepun
.
Memorial Pantai Perang
Dalam serangan itu kapal pengangkut tentera Jepun yang bernama Awagisan Maru terbakar setelah sepuluh kali terkena bom dan bedilan dan kemudian sebuah lagi kapal pengangkut tentera Jepun iaitu Ayatosan Maru juga terbakar setelah enam kali terkena bom dan bedilan oleh pesawat-pesawat terbang British/Australia itu. Pihak British mengatakan salah sebuah daripada kapal pengangkut tentera Jepun itu membawa kereta kebal dan meriam (artillery). Pihak Jepun pula mengatakan bahawa mereka telah menambak jatuh tujuh buah pesawat terbang British yang datang menyerang itu. Tetapi pihak British mengaku kehilangan hanya sebuah sahaja pesawat terbang ditembak jatuh oleh Jepun.  Sementara itu, gelombang kedua dan gelombang ketiga askar-askar Jepun, walau pun diserang dan dibedil oleh pesawat-pesawat terbang serta juga terpaksa menghadapi gelombang laut (ombak) yang kuat, namun akhirnya berjaya juga mendarat di pantai, satu demi satu. Gelombang ketiga diketuai oleh Kolonel Matsuka. Pada kira-kira jam 4.00 pagi (8 Disember 1941), askar-askar Jepun telah pun berjaya bertapak di Pantai Kelantan itu iaitu di Pantai Kuala Pak Amat. Menjelang dinihari (fajar) pihak Jepun telah pun selesai mendaratkan sebanyak tiga batalion di pantai itu dan berjaya berkubu di situ dan segera mereka menghantar patroli-patroli masuk menyeludup ke kawasan pendalaman di belakang garisan pertahanan pantai pihak British yang terletak di antara pantai dengan Lapangan Terbang Kota Bharu di Pangkalan Chepa.  Sementara itu, sebaik saja pendaratan pertama askar-askar Jepun berlaku, pasukan 2/12 th Frontier Force Regiment (kurang satu kompeni di sebelah Barat Sungai Kelantan) dan pasukan 73 rd Field Battery mara ke utara dari Pulai Chondong untuk mencegah sebarang penyusupan askar-askar Jepun ke arah Lapangan Terbang Pangkalan Chepa dan juga untuk menyerang balas. Pada masa yang sama Panglima Tentera Udara British Timur Jauh mengeluarkan perintah kepada Pasukan Penggempur Udara supaya bekerjasama dengan Tentera Darat menangkis serangan Jepun ke atas negeri Kelantan. Selanjutnya skuadron-skuadron pesawat terbang yang berpangkalan di Lapangan-lapangan Terbang di Kedah, Kuantan dan Tengah (Singapura) telah diperintahkan supaya menyerang kapal-kapal perang Jepun yang berada dekat pantai negeri Kelantan pada waktu pagi.

Peninggalan Tentera Jepun
Apabila sampai di pantai negeri Kelantan (sekitar Sabak) pesawat-pesawat terbang British itu tidak menjumpai kapal-kapal perang pengangkut Jepun itu yang telahpun beredar berlindung di belakang kepulauan Perhentian kira-kira 15 batu dari pantai negeri Kelantan. Skuadron-skuadron itupun kembali ke pangkalan masing-masing. Tetapi dalam penerbangan pulang ke lapangan-lapangan terbang mereka, beberapa buah pesawat terbang itu telah diserang oleh pesawat-pesawat pengebom dan pesawat-pesawat penggempur Jepun dan menanggung kerugian yang teruk.  Apabila hari mulai cerah askar-askar Jepun yang telah mendarat di pantai itu tidak dapat bergerak mara disebabkan oleh bedilan-bedilan dari jarak dekat yang bertalu-talu dari kubu-kubu pertahanan pihak British di pantai itu. Oleh itu pegawai-pegawai dan askar-askar Jepun itu terpaksa menggali lubang di pantai dengan tangan serta melindungkan kepala mereka dengan tangan dan terus berada di dalam lubang-lubang itu. Mereka terus menggali lubang itu sehingga ke paras bahu dan seluruh badan mereka terlindung dari peluru-peluru yang bertalu-talu datang dari kubu-kubu British. Kedudukan askar-askar Jepun itu begitu dekat dengan kubu-kubu pertahanan pihak British sehingga mereka boleh melontarkan bom-bom tangan ke dalam kubu-kubu itu dengan senang sahaja. Sepanjang masa tersebut, askar-askar Jepun menggunakan topi-topi besi mereka dan mara ke hadapan. Sejurus kemudian mereka sampai ke pagar kawat duri yang sedia terpasang di sepanjang pantai. Mereka yang membawanya alat pemotong kawat duri pun mula memotong kawat-kawat berduri itu.

Pantai Kuala Pak Amat
Tetapi sebelum mereka dapat berbuat apa-apa lagi, tiba-tiba kedengaran letupan yang dahsyat menyebabkan pasir di pantai berterbangan di sekitar mereka seolah-olah hujan pasir dan asap. Rupa-rupanya mereka sampai di kawasan di mana pihak British telah menanam periuk-periuk api. Sambil bergerak-gerak di atas mayat-mayat rakan-rakan mereka yang telah mati terbunuh oleh letupan itu, mereka memotong kawat duri itu. Di belakang mereka beberapa orang askar mengekori sambil membuat timbunan-timbunan pasir dengan menggunakan topi-topi besi dan terus merangkak mara ke hadapan. Askar-askar pihak British yang menjaga kubu-kubu itu berjuang dengan tergopoh-gapah. Tiba-tiba seorang askar Jepun merebahkan dirinya di atas sebuah luang atau kubu pihak British sambil kumpulan askar-askar Jepun yang lain merempuh serta menyerang kubu-kubu British itu. Berlontaranlah bom-bom tangan dan bergeseranlah benet-benet di tengah-tengah pekikan-pekikan perang serta bunyi-bunyi suara kecemasan. Dalam awan asap yang hitam, kubu-kubu pertahanan depan pihak British pun dapat ditawan oleh askar-askar Jepun yang menyerang itu.  Walau pun askar-askar India pasukan Dogra berjuang mati-matian untuk mempertahankan kubu-kubu mereka, namun jurang yang telah ditembusi oleh askar-askar Jepun itu terus dikuasai mereka. Maka panglima British mengambil keputusan iaitu jika Lapangan Terbang Kota Bharu di Pangkalan Chepa hendak dipertahankan jurang yang ditembusi dan ditawan Jepun itu mestilah direbut kembali sebelum waktu senja. Justeru itu beliau pun mengeluar perintah supaya pasukan 1/13 th Frontier Force Rifles melancarkan serangan balas ke sebelah timur sepanjang pantai daripada Pantai Badang dan pasukan 2/12 th Frontier Force Regiment (kurang satu kompeni) melancar serangan balas ke arah sebelah barat daripada Pantai Sabak, kemudian kedua pasukan itu bergabung tenaga untuk membinasakan askar-askar Jepun yang telah mendarat di kawasan itu. Pada masa yang sama, pasukan meriam 73 rd Field Battery dan 21 st Mountain Battery Indian Artillery akan memberi sokongan kepada serangan balas itu daripada kedudukan mereka berhampiran dengan lapangan terbang itu. Walau pun begitu kedua serangan balas pihak British itu gagal mencapai tujuannya disebabkan keadaan kawasan itu sukar dengan adanya sungai-sungai kecil dan paya. Serangan balas yang dilancarkan berikutnya pada pagi itu juga tidak berjaya dan keadaan di kawasan pantai tersebut menjadi kelam kabut dan mengelirukan.

Pantai Kuala Pak Amat
Sementara itu, sekitar jam 9.00 pagi (8 Disember 1941), tiba-tiba datanglah sejumlah pesawat terbang Jepun dari arah barat menyerang Lapangan Terbang Kota Bharu di Pangkalan Chepa, pesawat-pesawat terbang British/Australia yang ada di situ, bangunan-bangunan dan pegawai-pegawai/kakitangan dengan menembak dan mengebom dari paras rendah. Serangan udara Jepun ini dilancarkan secara terus menerus sepanjang hari itu dengan lapan kali serangan yang berasingan dan menghalang pihak British/Australia daripada mengendali dan menerbangkan pesawat-pesawat terbang jenis Hudson.  Pihak Jepun mengalami kemalangan teruk semasa melakukan pendaratan dan ramai askarnya yang terbunuh dan cedera. Mengikut sumber-sumber Jepun, dalam masa satu hari bertempur semasa mendarat dan di atas pantai, mereka kehilangan "320 askar terbunuh dan 538 askar cedera" daripada sejumlah askar kira-kira hampir 6000 orang semuanya. Sumber-sumber British pula menyebut angka kemalangan Jepun yang lebih tinggi iaitu lebih dari 2,000 askar Jepun terbunuh dan cedera.  Pihak Jepun menyebut bahawa "pendaratan berdarah di pantai dekat Kota Bharu itu akan tercatat dalam sejarah sebagai operasi pendaratan paling penting dan istimewa" dan mereka telah mendirikan di atas pantai berdarah di Badang dan Kuala Pak Amat dua tugu batu (obelisks) tertulis "Kepada mereka yang telah Gugur" dalam tulisan Jepun. Walau bagaimanapun sejak dari akhir tahun 1940an, kedua tuga batu tersebut telah jatuh ke dalam laut akibat hakisan pantai dan mungkin masih lagi ada terbenam di dasar laut.  

2 comments:

Ungku77 said...

thank you sebab beri info untuk saya buat kerja khusus PT3 2017 NI....... hidup ore kelate

Anonymous said...

tolong jelaskan faktor kedatangan jepun di sabak