SELAMAT DATANG KE BLOG KELATE ORI ... BEREH BLAKO SOKMO!

Search This Blog

Friday, 17 December 2010

BUDAYA: MAIN TTERI ( MAIN PUTERI )


Main Teri merupakan salah satu perubatan tradisi yang amat popular dan diamalkan oleh masyarakat Melayu Kelantan-Pattani sejak beberapa abad yang lampau.
Di kalangan Tok Teri (Ketua kepada kumpulan Main Teri) sendiri terdapat beberapa pandangan yang berbeza mengenai sejarah dan asal-usul Main Teri.
Ada yang menganggap Main Teri telah bermula sejak zaman cucunda Nabi, iaitu Hassan dan Hussein dan perkataan 'Teri' itu dirujuk kepada puteri nabi, Siti Fatimah.
Terdapat juga Tok Teri yang menghubungkan Main Puteri dengan Puteri Saadong, seorang tokoh legenda dalam tradisi lisan rakyat Kelantan.
Pandangan yang lain pula merujuk kepada kuih puteri mandi, kerana kuih itu disediakan sebelum upacara Main Teri dilangsungkan.
Manakala pendapat yang lain lagi menghubungkan Main Teri dengan hubungan jiwa dan rosak, iaitu tradisi perubatan untuk mematerikan iaitu menyatukan roh dan jiwa yang sakit.
Dalam perubatan tradisi Main Teri terdapat gabungan antara unsur Islam dengan unsur magis dan ritual.
Selepas sahaja upacara 'baca kenduri' yang sebutan bacaannya bercampur antara ayat-ayat al-Quran dengan jampi dan mantera, Tok Teri akan tampil di depan para pemuzik dan pesakit yang akan diubati.
Khalayak akan menyaksikan upacara menurun yang benar-benar terjadi di hadapan mereka. Pesakit akan diseru dan dibangkitkan angin dari dalam dirinya dan angin sakit itu akan dipindahkan ke dalam diri Tok Teri yang bertindak sebagai pengantara.
Tok Teri akan bersoal jawab dengan Tok Minduk. Melalui soal jawab antara Tok Teri dengan Tok Minduk inilah rahsia penyakit yang dideritai oleh pesakit akan diketahui.




Semasa proses perubatan ini Tok Teri akan berubah-rubah perwatakannya, seperti menjadi orang cacat, bercakap sengau, menjadi bengis dan garang, menjadi budak terencat akal, menjadi orang tua nyanyuk dan pelbagai watak lain untuk menceritakan kekusutan jiwa pesakit.
Pada bahagian ini khalayak dapat menyaksikan bagaimana aspek lakonan terbentuk semasa Main Teri dan karakter-karakter ini pasti mencuit hati sehingga mencetuskan gelak-ketawa.
Tok Teri akan meminta pemuzik yang mengiring memainkan pelbagai lagu mengikut jiwa pesakit.
Elemen muzik dan unsur nyanyian ini menuntut keupayaan Tok Teri bagi mengalunkan pelbagai lagu dan rentak.
Lagu-lagu itu seperti lagu paluan bertabuh dalam wayang kulit, kemudian beralih kepada lagu dalam makyung sekiranya pesakit ada kaitan penyakitnya dengan angin Dewa Muda.
Pada masa dulu dikatakan lebih 50 buah lagu dalam Main Teri, namun hari ini, tidak sampai 10 buah lagu 'gerak teri' yang masih dimainkan. Antara lagu-lagu yang lazim dinyanyikan adalah Kijang Mas, Lagu Mengulit, Lagu Pendekar, Lagu Cik Muda, Lagu Menora, Lagu Cik Kojo dan Lagu Abe.
Semasa proses perubatan dengan bacaan jampi dan mantera, bertih iaitu padi yang dibakar atau goreng, dan beras kunyit akan ditaburkan kepada sekeliling bangsal tempat persembahan.
Tok Teri akan menjadi lupa melalui proses 'menurun' yang dilakukan dengan iringan muzik oleh awak-awak atau disebut juga sebagai panjak. Gelengan kepala Tok Teri akan semakin kuat pusingannya mengikut rentak muzik yang dimainkan oleh para panjak.
Ketika inilah pesakit yang sedang berlunjur atau terbaring itu akan bangun menari mengikut paluan muzik oleh panjak-panjak.


Sekiranya pesakit mempunyai angin pendekar, dia akan bersilat dengan Tok Teri. Sekiranya dia memiliki angin bertumbuk (tomoi) dia akan mengajak untuk bertomoi dengan Tok Teri. Tok Teri kebiasaan akan melayan pesakit mengikut angin pesakit.
Dalam Main Teri, alat muzik yang digunakan seperti rebab, serunai, tetawak, gendang, geduk, canang dan juga kesi. Alat-alat muzik ini akan berada di hadapan Tok Teri yang berdepan dengan Tok Minduk.
Tok Minduk pula akan berada pada satu tempat secara statik dengan alatan muzik di sebelah kanannya. Sekiranya Tok Minduk memiliki kemahiran sebagai pemuzik, kebiasaannya dia akan bercakap sambil menggesek rebabnya.
Baru-baru ini Teater Elit dengan kerjasama DBP telah membawa Abang Mat Tok Teri atau nama asalnya Che Mohd. Zailani Che Moh untuk membuatkan pertunjukkan Main Teri.
Abang Mat yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan, merupakan antara beberapa orang Tok Teri yang masih ada dan mengamalkan tradisi tersebut tatkala ia diancam kepupusan.
Dia memilik pengalaman sebagai Tok Teri lebih 15 tahun dan tidak dinafikan mempunyai kekuatan dan bakat sebagai pemain utama Main Teri.
Tok Teri ini pernah mengubat pesakit di seluruh Kelantan, Terengganu, Pahang, Kuala Lumpur dan ke selatan Thailand.
Main Teri dikaitkan dengan unsur angin yang akan dibangkitkan oleh Tok Teri atau dalam bahasa Main Teri disebutkan sebagai 'isih'. Nama-nama 'isih' atau angin tersebut termasuklah Raja Dua Belas tersebut dikenali sebagai Sulung, Bimbaran Empat, Pahlawan Empat, Sertan Empat, Megat Empat, Cik Siti Putih Nahkoda Anjung, Mamud Kuning Hayun Manis Hitam Ayun Baka, Anak dewa Di Gunung, Awang Pengasuh, Mahat Gemala Gajah, Awang Kasim Gila, Anak Dewa Tujuh, Anak Kumbang Tujuh, Hala tujuh, Bidang Tujuh dan Hitam Perlima Laut.



Tok Teri akan mengucapkan:

Sulung kecik

Penganjur raja nakding

Penganjur dewa

Sayang pengasuh sifat

Gading permata hitam

Negeri kota tahkit

Kebayat bunga

Seniur raja

Tanah se alam

minangkabau

Telat gading

Gere kecik

Dulang suasa

Gedung manik

Ganti puraĆ¢€¦.

Main Teri, walaupun satu kaedah perubatan tradisional, tetapi yang menariknya di dalam persembahan perubatan Main Teri terdapat unsur-unsur teater moden yang menggabungkan lakonan, nyanyian, tarian, mimos dan muzik.



Sebab itu juga Main Teri dianggap teras asal kepada segala bentuk persembahan tradisi Kelantan-Pattani seperti makyung, wayang kulit, dikir barat, bageh dan beberapa bentuk permainan tradisi yang lain.
Bagaimanapun di Kota Bharu sendiri umpamanya, amat sukar untuk mencari seorang Tok Teri yang masih meneruskan tradisi tersebut. Kumpulan Main Teri yang masih bertahan berjumlah tidak lebih daripada tiga kumpulan iaitu di Pasir Puteh, Tumpat dan Tanah Merah (kumpulan Abang Mat sendiri).
Main Teri juga menghadapi cabaran 'pengharaman' kerana unsur-unsur bacaan jampi mantera banyak bertentangan dengan anutan akidah Islam.
Masa depan Main Teri sebenarnya sedang menuju ke hujungnya yang runcing. Hampir tidak ada generasi muda yang berminat untuk meneruskan tradisi ini.

No comments: