SELAMAT DATANG KE BLOG KELATE ORI ... BEREH BLAKO SOKMO!

Search This Blog

Friday, 17 December 2010

BUDAYA: MAIN TTERI ( MAIN PUTERI )


Main Teri merupakan salah satu perubatan tradisi yang amat popular dan diamalkan oleh masyarakat Melayu Kelantan-Pattani sejak beberapa abad yang lampau.
Di kalangan Tok Teri (Ketua kepada kumpulan Main Teri) sendiri terdapat beberapa pandangan yang berbeza mengenai sejarah dan asal-usul Main Teri.
Ada yang menganggap Main Teri telah bermula sejak zaman cucunda Nabi, iaitu Hassan dan Hussein dan perkataan 'Teri' itu dirujuk kepada puteri nabi, Siti Fatimah.
Terdapat juga Tok Teri yang menghubungkan Main Puteri dengan Puteri Saadong, seorang tokoh legenda dalam tradisi lisan rakyat Kelantan.
Pandangan yang lain pula merujuk kepada kuih puteri mandi, kerana kuih itu disediakan sebelum upacara Main Teri dilangsungkan.
Manakala pendapat yang lain lagi menghubungkan Main Teri dengan hubungan jiwa dan rosak, iaitu tradisi perubatan untuk mematerikan iaitu menyatukan roh dan jiwa yang sakit.
Dalam perubatan tradisi Main Teri terdapat gabungan antara unsur Islam dengan unsur magis dan ritual.
Selepas sahaja upacara 'baca kenduri' yang sebutan bacaannya bercampur antara ayat-ayat al-Quran dengan jampi dan mantera, Tok Teri akan tampil di depan para pemuzik dan pesakit yang akan diubati.
Khalayak akan menyaksikan upacara menurun yang benar-benar terjadi di hadapan mereka. Pesakit akan diseru dan dibangkitkan angin dari dalam dirinya dan angin sakit itu akan dipindahkan ke dalam diri Tok Teri yang bertindak sebagai pengantara.
Tok Teri akan bersoal jawab dengan Tok Minduk. Melalui soal jawab antara Tok Teri dengan Tok Minduk inilah rahsia penyakit yang dideritai oleh pesakit akan diketahui.




Semasa proses perubatan ini Tok Teri akan berubah-rubah perwatakannya, seperti menjadi orang cacat, bercakap sengau, menjadi bengis dan garang, menjadi budak terencat akal, menjadi orang tua nyanyuk dan pelbagai watak lain untuk menceritakan kekusutan jiwa pesakit.
Pada bahagian ini khalayak dapat menyaksikan bagaimana aspek lakonan terbentuk semasa Main Teri dan karakter-karakter ini pasti mencuit hati sehingga mencetuskan gelak-ketawa.
Tok Teri akan meminta pemuzik yang mengiring memainkan pelbagai lagu mengikut jiwa pesakit.
Elemen muzik dan unsur nyanyian ini menuntut keupayaan Tok Teri bagi mengalunkan pelbagai lagu dan rentak.
Lagu-lagu itu seperti lagu paluan bertabuh dalam wayang kulit, kemudian beralih kepada lagu dalam makyung sekiranya pesakit ada kaitan penyakitnya dengan angin Dewa Muda.
Pada masa dulu dikatakan lebih 50 buah lagu dalam Main Teri, namun hari ini, tidak sampai 10 buah lagu 'gerak teri' yang masih dimainkan. Antara lagu-lagu yang lazim dinyanyikan adalah Kijang Mas, Lagu Mengulit, Lagu Pendekar, Lagu Cik Muda, Lagu Menora, Lagu Cik Kojo dan Lagu Abe.
Semasa proses perubatan dengan bacaan jampi dan mantera, bertih iaitu padi yang dibakar atau goreng, dan beras kunyit akan ditaburkan kepada sekeliling bangsal tempat persembahan.
Tok Teri akan menjadi lupa melalui proses 'menurun' yang dilakukan dengan iringan muzik oleh awak-awak atau disebut juga sebagai panjak. Gelengan kepala Tok Teri akan semakin kuat pusingannya mengikut rentak muzik yang dimainkan oleh para panjak.
Ketika inilah pesakit yang sedang berlunjur atau terbaring itu akan bangun menari mengikut paluan muzik oleh panjak-panjak.


Sekiranya pesakit mempunyai angin pendekar, dia akan bersilat dengan Tok Teri. Sekiranya dia memiliki angin bertumbuk (tomoi) dia akan mengajak untuk bertomoi dengan Tok Teri. Tok Teri kebiasaan akan melayan pesakit mengikut angin pesakit.
Dalam Main Teri, alat muzik yang digunakan seperti rebab, serunai, tetawak, gendang, geduk, canang dan juga kesi. Alat-alat muzik ini akan berada di hadapan Tok Teri yang berdepan dengan Tok Minduk.
Tok Minduk pula akan berada pada satu tempat secara statik dengan alatan muzik di sebelah kanannya. Sekiranya Tok Minduk memiliki kemahiran sebagai pemuzik, kebiasaannya dia akan bercakap sambil menggesek rebabnya.
Baru-baru ini Teater Elit dengan kerjasama DBP telah membawa Abang Mat Tok Teri atau nama asalnya Che Mohd. Zailani Che Moh untuk membuatkan pertunjukkan Main Teri.
Abang Mat yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan, merupakan antara beberapa orang Tok Teri yang masih ada dan mengamalkan tradisi tersebut tatkala ia diancam kepupusan.
Dia memilik pengalaman sebagai Tok Teri lebih 15 tahun dan tidak dinafikan mempunyai kekuatan dan bakat sebagai pemain utama Main Teri.
Tok Teri ini pernah mengubat pesakit di seluruh Kelantan, Terengganu, Pahang, Kuala Lumpur dan ke selatan Thailand.
Main Teri dikaitkan dengan unsur angin yang akan dibangkitkan oleh Tok Teri atau dalam bahasa Main Teri disebutkan sebagai 'isih'. Nama-nama 'isih' atau angin tersebut termasuklah Raja Dua Belas tersebut dikenali sebagai Sulung, Bimbaran Empat, Pahlawan Empat, Sertan Empat, Megat Empat, Cik Siti Putih Nahkoda Anjung, Mamud Kuning Hayun Manis Hitam Ayun Baka, Anak dewa Di Gunung, Awang Pengasuh, Mahat Gemala Gajah, Awang Kasim Gila, Anak Dewa Tujuh, Anak Kumbang Tujuh, Hala tujuh, Bidang Tujuh dan Hitam Perlima Laut.



Tok Teri akan mengucapkan:

Sulung kecik

Penganjur raja nakding

Penganjur dewa

Sayang pengasuh sifat

Gading permata hitam

Negeri kota tahkit

Kebayat bunga

Seniur raja

Tanah se alam

minangkabau

Telat gading

Gere kecik

Dulang suasa

Gedung manik

Ganti puraĆ¢€¦.

Main Teri, walaupun satu kaedah perubatan tradisional, tetapi yang menariknya di dalam persembahan perubatan Main Teri terdapat unsur-unsur teater moden yang menggabungkan lakonan, nyanyian, tarian, mimos dan muzik.



Sebab itu juga Main Teri dianggap teras asal kepada segala bentuk persembahan tradisi Kelantan-Pattani seperti makyung, wayang kulit, dikir barat, bageh dan beberapa bentuk permainan tradisi yang lain.
Bagaimanapun di Kota Bharu sendiri umpamanya, amat sukar untuk mencari seorang Tok Teri yang masih meneruskan tradisi tersebut. Kumpulan Main Teri yang masih bertahan berjumlah tidak lebih daripada tiga kumpulan iaitu di Pasir Puteh, Tumpat dan Tanah Merah (kumpulan Abang Mat sendiri).
Main Teri juga menghadapi cabaran 'pengharaman' kerana unsur-unsur bacaan jampi mantera banyak bertentangan dengan anutan akidah Islam.
Masa depan Main Teri sebenarnya sedang menuju ke hujungnya yang runcing. Hampir tidak ada generasi muda yang berminat untuk meneruskan tradisi ini.

12 comments:

Hafiah said...

Salam.. Sy student art uitm.. Sy berminat untuk membuat kajian pasal seni tradisional di kelantan.. Iaitu main puteri. Mcm mn ye sy nk brhubung dengan tok teri trsbut? Atau mcm mn sy nk dpatkn mklumat dtail pasal main puteri ni..?

mohamad faizo said...

0168827137 call saya lau nk thu,, sy dri upsi

Unknown said...

salam...Saya jga berminat untuk membuat kajian menengenai main puteri. boleh saya mendapatkan maklumat terperinci dan boleh dapatkan no.tel tok teri? terima kasih...

mohamad faizo said...

Main Puteri atau Main Teri merupakan satu cara pengubatan tradisional yang telah diamalkan oleh masyarakat Melayu Kelantan sejak berkurun lamanya. Main Puteri ini sering dilakukan untuk mengubati penyakit berkaitan semangat dan kejiwaan atau lebih dikenali sebagai pelepas angin. Upacara Main Puteri ini melibatkan dua watak utama iaitu Tuan Puteri atau lebih dikenali sebagai Tok Teri. Main Puteri ada kaitannya dengan Puteri Sa’adong yang merupakan puteri lagenda yang terkenal di Kelantan. Kata beliau, mantera meminta kesembuhan dari Puteri Sa’adong adalah untuk mematerikan kembali penyatuan antara jiwa dan roh yang sakit.
Tok Teri ini biasanya akan dibantu oleh seorang Tok Minduk yang akan memainkan alat muzik seperti meniup serunai, memukul rebab, gendang ibu, gendang anak, gedombak ibu, gedombak anak, tetawak dan canang. Kebiasaannya, upacara ini akan dilakukan pada waktu malam untuk menyeru semangat yang dipercayai mampu mengubati pesakit yang dikatakan terkena rasukan makhluk halus dan benda-benda yang berkait kejiwaan serta semangat pesakit. Tradisi Main Puteri ini mempunyai gabungan antara unsur Islam dengan amalan ritual yang lain yang mana bacaan dalam upacara dicampurkan antara ayat al-Quran dengan jampi ataupun mantera. Semasa upacara ini dimulakan, Tok Teri akan menyeru pesakit dan angin sakit yang ada dalam diri pesakit tersebut akan dipindahkan kepada Tok Teri. Oleh itu, semasa upacara dilakukan, Tok Teri tidak akan sedarkan diri dan akan bersoal jawab dengan Tok Minduk.
Semasa sesi soal jawab inilah penyakit yang dihadapi oleh orang yang diubati akan terjawab. Sepanjang upacara ini dilangsungkan, Tok Teri akan berubah-ubah perwatakkannya mengikut angin pesakit. Biasanya, Tok Teri akan meminta Tok Minduk untuk memainkan muzik mengikut rentak beliau. Watak-watak yang menguasai Tok Teri pada masa ini menjadi lambang kepada kekalutan jiwa yang dihadapi oleh pesakit. Nama-nama angin yang ada dalam jiwa pesakit termasuklah seperti Dewa Tujuh, Anak Kumbang Tujuh, Hala Tujuh, Bidang Tujuh, Saka Tujuh Keturunan dan sebagainya lagi.
Oleh itu, pengkajian ini akan melihat secara lebih terperinci bagaimana pengucapan mantera yang digunakan Tok Teri semasa mengubati angin atau masalah jiwa pasakit-pesakitnya.


mohamad faizo said...

call me 0168827137 untuk tahu mengenai kajian yang saya buat.

Yang Razlan said...

Salamualaikum. Saya sedang menolong seorang videographer dari luar negara untuk ritual Main Tok Teri. Dimana boleh saya berhubung dan dapat informasi terkeni.Dan Kami faham Mak Yong juga ada di negeri Kedah.Ada informasi ini ? Terima kasih

amyza said...

Sedang menonton secara live upacara main puteri untuk mengubati makcik saya..di kg seneng bachok kelantan

Unknown said...

Asalamualikum saya student dari upm..saya berminat untuk mengkaji tentang main teri ni.. boleh tahu ke tempat mana yang masih aktif dalam persembahan main teri ni?

Unknown said...

Di sana masih aktif lagi ke main putri? Boleh bagi location .. saya barminat nak kaji main puteri untuk kajian saya.

Anonymous said...

di kawasan pehi(kuala krai ) ada satu kumpulan lagi yang masih aktif melakukan main teri. boleh try cari.. rumah dia berhampiran dengan landasan keretaapi..

Seri Banum said...

siapa tokoh main teri yang masih hidup?

Unknown said...

Masih ada lg ka skrg?